Vivian Wong Shir Yee

Vivian Wong Shir Yee (Bahasa Cina: 黄诗怡; pinyin: Huáng Shī Yí) merupakan Ahli parlimen Sandakan, Sabah sejak tahun 2019. Beliau dilahirkan di Sandakan, Sabah pada tahun 1989 dan merupakan anak bongsu kepada Datuk Seri Panglima Stephen Wong Tien Fatt, bekas Ahli Parlimen Sandakan (2013-2019) dan Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah (2018-2019). Pada tahun 2012, beliau bersama ayahnya telah menyertai Parti Tindakan Demokratik (DAP) yang merupakan parti gabungan Pakatan Harapan.[1] Vivian telah meneruskan legasi mendiang ayahnya setelah kematian mendiang pada 28 Mac 2019 akibat serangan jantung. Beliau berjaya mempertahankan kerusi mendiang ayahnya sempena Pilihan raya kecil Sandakan pada 11 Mei 2019 dengan menewaskan calon Parti Bersatu Sabah yang juga merupakan bekas Ahli Parlimen Batu Sapi, Datuk Linda Tsen Thau Lin. Beliau memenangi pilihan raya ini dengan majoriti besar, iaitu 11,521 undi.[2]Vivian merupakan pemegang Ijazah Sarjana Muda Perhubungan Awam dari Universiti Murdoch, Australia pada tahun 2013. Selain itu, beliau juga merupakan graduan Diploma Komunikasi dan Media dari Kolej Universiti Antarabangsa INTI di Subang Jaya, Selangor pada tahun 2010 dan Diploma Pendidikan Awal Kanak-kanak dari Universiti Malaya pada tahun 2018. Beliau pernah menjadi perunding kewangan dalam sektor perbankan di Kuala Lumpur (2013-2015) dan pengajar di International Korean School of Malaysia, Cyberjaya (2015-2018). Beliau telahpun menjadi pegawai khas kepada mendiang ayahnya setelah mendiang ayahnya dilantik sebagai Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah pada tahun 2018.[3]